BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, April 19, 2012

Persidangan Perpustakaan Masjid 2012

Baru-baru ini saya telah dijemput untuk mengisi salah satu slot dalam Persidangan Perpustakaan Masjid Peringkat Kebangsaan. Persidangan ini adalah anjuran Kulliyyah Information dan Communication Technology, UIAM, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan juga Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Ia telah diadakan pada 27 & 28 Mac 2012.


Kertas kerja saya telah dibentangkan pada 28 Mac 2012 dengan judul Mengimarahkan Perpustakaan Masjid. Abstrak kertas kerja saya:

ABSTRAK
Kertas kerja ini membincangkan beberapa faktor yang boleh menarik orang ramai ke perpustakaan masjid. Antara yang digariskan adalah faktor-faktor penarik seperti koleksi, kemudahan, perkhidmatan, lokasi. Juga dibincangkan beberapa cabaran-cabaran dalam mengimarahkan perpustakaan masjid iaitu sumber kewangan, sumber manusia dan sasaran pengguna. Beberapa cadangan diberikan yang berkait dengan komitmen pihak pengurusan, keperluan kerjasama berpasukan serta memantapkan sumber kewangan.

Catatan berita berkaitan di link ini - http://www.islam.gov.my/en/persidangan-perpustakaan-masjid-peringkat-kebangsaan-tahun-2012 
(Terdapat kesilapan ejaan pada nama saya yang telah ditulis oleh penganjur sejak awal program ini diuar-uarkan hinggalah program ini selesai, walaupun saya telah membetulkannya. Kesal sekali dengan pengabaian penulisan nama yang tepat seperti ini).

Tuesday, March 13, 2012

Perpustakaan Masjid Disubur, Bukan Dikubur

UTUSAN MALAYSIA
ARKIB : 09/10/2009


SEMASA pulang berhari raya ke Melaka pada musim hari raya yang lepas, saya diberitahu oleh salah seorang ahli keluarga, bahawa Perpustakaan Al-Azim di Masjid Al-Azim, Bukit Palah, Melaka telah ditutup.

Saya tidak pasti kenapa ia ditutup. Namun walau apa pun alasannya, berita tersebut amat menyedihkan saya.

Pada awal tahun 2003, saya telah menjalankan satu kajian mengenai perpustakaan itu dan mendapati ia amat berpotensi untuk terus berkembang di samping menyokong perkembangan maklumat Islam di kalangan masyarakat setempat dan juga orang luar.

Pemilihan perpustakaan itu sebagai tempat kajian bukanlah secara kebetulan kerana ia dibuat berdasarkan profail perpustakaan tersebut yang lebih menarik dibandingkan dengan beberapa perpustakaan di masjid-masjid negeri yang lain ketika itu.

Berdasarkan kepada profail Perpustakaan Al-Azim semasa kajian tersebut dijalankan (data sehingga akhir 2002), ia memiliki: Kira-kira 10,000 judul bahan yang terdiri daripada buku-buku, jurnal, majalah dalam Bahasa Melayu, Arab dan Inggeris dan meliputi pelbagai subjek (tidak tertumpu kepada buku-buku agama Islam sahaja).

*Jumlah pengunjung yang boleh dibanggakan bagi sebuah perpustakaan masjid, statistik yang dikeluarkan mencatatkan jumlah pengunjung seramai 10,156 orang sepanjang tahun 2002.

*Jumlah pengunjung yang bukan beragama Islam yang tinggi iaitu lebih 16 peratus (tahun 2002) daripada jumlah pengunjung keseluruhan.

*Jumlah pengunjung remaja (berumur di antara 16 hingga 24 tahun) yang tinggi iaitu melebihi 80 peratus.

*Hampir 70 peratus pengunjung terdiri daripada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi yang datang ke perpustakaan ini untuk mencari bahan-bahan bagi tugasan mereka.

*Sistem pengelasan bahan-bahan perpustakaan yang diiktiraf di peringkat dunia (walaupun masih banyak ruang penambahbaikan diperlukan), iaitu sistem pengelasan bahan yang dibangunkan oleh Ziauddin Sardar – Islam: Outline of Classification Scheme.

Berdasarkan kepada fakta-fakta di atas, dapat digambarkan betapa perpustakaan itu telah berjaya memainkan peranannya dengan baik seperti berjaya menarik para remaja yang sering dilabelkan sebagai bukan kaki masjid.

Malah perpustakaan ini menyediakan persekitaran budaya ilmu yang sihat untuk para remaja ini.
Agak pelik apabila dilihat bahawa jumlah masyarakat yang lebih dewasa dan sering ke masjid, didapati kurang pula mengunjungi perpustakaan ini.

Perpustakaan itu juga telah berjaya menjalankan tugas dakwah bil-hal dengan menarik orang bukan Islam mendekati masjid bersandarkan sumber ilmu yang disediakan.

Peluang ini sepatutnya diambil secara positif oleh pihak masjid untuk mereka menyebarkan maklumat Islam kepada bukan Islam, lebih-lebih lagi apabila Kompleks Masjid AlAzim ketika itu turut menempatkan Unit Saudara Baru.

Perpustakaan itu sepatutnya dilihat sebagai alternatif kepada penyebaran dakwah selain daripada ceramah-ceramah agama dan sekian banyak aktiviti yang sering dijalankan di masjid.

Ia sepatutnya dilengkapkan lagi dengan koleksi-koleksi bacaan terkini dan juga koleksi dalam bentuk multimedia yang bermanfaat untuk lebih menarik minat para remaja.

Justeru, semakan semula ke atas tindakan menutup perpustakaan itu sewajarnya dijalankan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab ke atas Perpustakaan Al-Azim ini.

Ia sepatutnya dikembangsuburkan bukan dikuburkan.


Nor Azzah Momin
Nilai, Negeri Sembilan

Saturday, March 10, 2012

Perpustakaan di Masjid Perlu Aktif


SEMPENA Sambutan Bulan Membaca Julai 2005 yang sedang diraikan sekarang ini, saya ingin menyeru agar Jabatan Agama Islam lebih peka terhadap
kepentingan mengadakan perpustakaan di masjid.
 
Sambutan Bulan Membaca dengan tema 'Rajin Membaca Pasti Berjaya' pada tahun ini patut dihayati semangat oleh semua peringkat masyarakat.
Budaya membaca harus diamalkan terutamanya oleh umat Islam kerana ayat pertama yang diturunkan, iaitu ayat Iqra' dari Surah al-'Alaq,
terang-terang menekankan kepentingan membaca sebagai sumber ilmu.
 
Justeru, masjid sebagai institusi yang penting dalam Islam wajar untuk turut sama memainkan peranan bagi menggalakkan pengamalan budaya membaca
ini.
 
Satu caranya ialah menubuhkan dan menggiatkan kegiatan perpustakaan masjid untuk dijadikan pusat sumber maklumat penduduk.
Perpustakaan masjid mampu memberi sumbangan dalam pendidikan dan bukan sekadar mengadakan rak-rak buku ilmiah, kitab dan al-Quran yang tidak
disentuh ditempatkan di satu penjuru tanpa diberi perhatian sewajarnya.
 
Merujuk dari sudut sejarah, perpustakaan yang pertama diperkenalkan dalam sejarah Islam adalah perpustakaan di masjid. Ia diwujudkan bermula
daripada penyerahan bahan bacaan yang digunakan dalam pengajian yang dijalankan.
 
Malah, sejarah turut mencatatkan bahawa pada zaman kegemilangan Islam dulu, setiap masjid, sama ada besar atau kecil, pasti mempunyai
perpustakaannya sendiri dan dikendalikan oleh mereka yang berpengetahuan dalam bidang perpustakaan yang digaji khusus untuk tujuan itu. 
 
Memandangkan negara kita juga sedang menuju ke arah kecemerlangan saya ingin menggesa pihak yang bertanggungjawab untuk mengimarahkan masjid
agar mengambil inisiatif untuk menggerakkan perpustakaan masjid dan surau di semua negeri, daerah dan kampung. 
 
Dengan cara ini, diharapkan budaya membaca akan dapat dihayati oleh semua lapisan masyarakat di serata pelusuk negara. 
 
Kita tetap boleh asingkan tempat duduk dan membaca di ruang dan bilik perpustakaan itu bagi belia dan jemaah lelaki dan wanita. 
Dengan sendirinya jika kegiatan ini digerakkan, maka akan sibuk dan bercahayalah masjid dan surau kita yang agak malap dan dibuka pada waktu
solat saja.
 
NOR AZZAH MOMIN,
Putrajaya. 
 

Santapan Rohani: Membudayakan Amalan Membaca

Pengalaman pertama berhadapan dengan kamera untuk perkongsian ilmu. Komen serta cadangan dialu-alukan.

Membudayakan Amalan Membaca