BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, March 13, 2012

Perpustakaan Masjid Disubur, Bukan Dikubur

UTUSAN MALAYSIA
ARKIB : 09/10/2009


SEMASA pulang berhari raya ke Melaka pada musim hari raya yang lepas, saya diberitahu oleh salah seorang ahli keluarga, bahawa Perpustakaan Al-Azim di Masjid Al-Azim, Bukit Palah, Melaka telah ditutup.

Saya tidak pasti kenapa ia ditutup. Namun walau apa pun alasannya, berita tersebut amat menyedihkan saya.

Pada awal tahun 2003, saya telah menjalankan satu kajian mengenai perpustakaan itu dan mendapati ia amat berpotensi untuk terus berkembang di samping menyokong perkembangan maklumat Islam di kalangan masyarakat setempat dan juga orang luar.

Pemilihan perpustakaan itu sebagai tempat kajian bukanlah secara kebetulan kerana ia dibuat berdasarkan profail perpustakaan tersebut yang lebih menarik dibandingkan dengan beberapa perpustakaan di masjid-masjid negeri yang lain ketika itu.

Berdasarkan kepada profail Perpustakaan Al-Azim semasa kajian tersebut dijalankan (data sehingga akhir 2002), ia memiliki: Kira-kira 10,000 judul bahan yang terdiri daripada buku-buku, jurnal, majalah dalam Bahasa Melayu, Arab dan Inggeris dan meliputi pelbagai subjek (tidak tertumpu kepada buku-buku agama Islam sahaja).

*Jumlah pengunjung yang boleh dibanggakan bagi sebuah perpustakaan masjid, statistik yang dikeluarkan mencatatkan jumlah pengunjung seramai 10,156 orang sepanjang tahun 2002.

*Jumlah pengunjung yang bukan beragama Islam yang tinggi iaitu lebih 16 peratus (tahun 2002) daripada jumlah pengunjung keseluruhan.

*Jumlah pengunjung remaja (berumur di antara 16 hingga 24 tahun) yang tinggi iaitu melebihi 80 peratus.

*Hampir 70 peratus pengunjung terdiri daripada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi yang datang ke perpustakaan ini untuk mencari bahan-bahan bagi tugasan mereka.

*Sistem pengelasan bahan-bahan perpustakaan yang diiktiraf di peringkat dunia (walaupun masih banyak ruang penambahbaikan diperlukan), iaitu sistem pengelasan bahan yang dibangunkan oleh Ziauddin Sardar – Islam: Outline of Classification Scheme.

Berdasarkan kepada fakta-fakta di atas, dapat digambarkan betapa perpustakaan itu telah berjaya memainkan peranannya dengan baik seperti berjaya menarik para remaja yang sering dilabelkan sebagai bukan kaki masjid.

Malah perpustakaan ini menyediakan persekitaran budaya ilmu yang sihat untuk para remaja ini.
Agak pelik apabila dilihat bahawa jumlah masyarakat yang lebih dewasa dan sering ke masjid, didapati kurang pula mengunjungi perpustakaan ini.

Perpustakaan itu juga telah berjaya menjalankan tugas dakwah bil-hal dengan menarik orang bukan Islam mendekati masjid bersandarkan sumber ilmu yang disediakan.

Peluang ini sepatutnya diambil secara positif oleh pihak masjid untuk mereka menyebarkan maklumat Islam kepada bukan Islam, lebih-lebih lagi apabila Kompleks Masjid AlAzim ketika itu turut menempatkan Unit Saudara Baru.

Perpustakaan itu sepatutnya dilihat sebagai alternatif kepada penyebaran dakwah selain daripada ceramah-ceramah agama dan sekian banyak aktiviti yang sering dijalankan di masjid.

Ia sepatutnya dilengkapkan lagi dengan koleksi-koleksi bacaan terkini dan juga koleksi dalam bentuk multimedia yang bermanfaat untuk lebih menarik minat para remaja.

Justeru, semakan semula ke atas tindakan menutup perpustakaan itu sewajarnya dijalankan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab ke atas Perpustakaan Al-Azim ini.

Ia sepatutnya dikembangsuburkan bukan dikuburkan.


Nor Azzah Momin
Nilai, Negeri Sembilan

0 comments: