BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, March 10, 2012

Perpustakaan di Masjid Perlu Aktif


SEMPENA Sambutan Bulan Membaca Julai 2005 yang sedang diraikan sekarang ini, saya ingin menyeru agar Jabatan Agama Islam lebih peka terhadap
kepentingan mengadakan perpustakaan di masjid.
 
Sambutan Bulan Membaca dengan tema 'Rajin Membaca Pasti Berjaya' pada tahun ini patut dihayati semangat oleh semua peringkat masyarakat.
Budaya membaca harus diamalkan terutamanya oleh umat Islam kerana ayat pertama yang diturunkan, iaitu ayat Iqra' dari Surah al-'Alaq,
terang-terang menekankan kepentingan membaca sebagai sumber ilmu.
 
Justeru, masjid sebagai institusi yang penting dalam Islam wajar untuk turut sama memainkan peranan bagi menggalakkan pengamalan budaya membaca
ini.
 
Satu caranya ialah menubuhkan dan menggiatkan kegiatan perpustakaan masjid untuk dijadikan pusat sumber maklumat penduduk.
Perpustakaan masjid mampu memberi sumbangan dalam pendidikan dan bukan sekadar mengadakan rak-rak buku ilmiah, kitab dan al-Quran yang tidak
disentuh ditempatkan di satu penjuru tanpa diberi perhatian sewajarnya.
 
Merujuk dari sudut sejarah, perpustakaan yang pertama diperkenalkan dalam sejarah Islam adalah perpustakaan di masjid. Ia diwujudkan bermula
daripada penyerahan bahan bacaan yang digunakan dalam pengajian yang dijalankan.
 
Malah, sejarah turut mencatatkan bahawa pada zaman kegemilangan Islam dulu, setiap masjid, sama ada besar atau kecil, pasti mempunyai
perpustakaannya sendiri dan dikendalikan oleh mereka yang berpengetahuan dalam bidang perpustakaan yang digaji khusus untuk tujuan itu. 
 
Memandangkan negara kita juga sedang menuju ke arah kecemerlangan saya ingin menggesa pihak yang bertanggungjawab untuk mengimarahkan masjid
agar mengambil inisiatif untuk menggerakkan perpustakaan masjid dan surau di semua negeri, daerah dan kampung. 
 
Dengan cara ini, diharapkan budaya membaca akan dapat dihayati oleh semua lapisan masyarakat di serata pelusuk negara. 
 
Kita tetap boleh asingkan tempat duduk dan membaca di ruang dan bilik perpustakaan itu bagi belia dan jemaah lelaki dan wanita. 
Dengan sendirinya jika kegiatan ini digerakkan, maka akan sibuk dan bercahayalah masjid dan surau kita yang agak malap dan dibuka pada waktu
solat saja.
 
NOR AZZAH MOMIN,
Putrajaya. 
 

0 comments: